Unity: Harapan Sabah

 *Harapan Baru Untuk Sabah: In God We Trust, Unite We Must*

Penulis amat tertarik kepada motto sebuah parti politik Sabah mencanangkan slogannya ‘Kepada Tuhan kita berserah, kita mesti bersatu padu’. Bagi mereka yang haus akan kedamaian dan perpaduan pasti dapat melihat dan merasai bahawa slogan ini mempunyai nadi hidup dalam diri mereka. Nadi hidup ini memberikan harapan baru khusus kepada rakyat Sabah dan seterusnya kepada seluruh rakyat Malaysia yang dicintai. 

Keadaan politik negara masa kini yang tidak putus-putus dengan gelora dan drama politik telah memberi kesan kepada situasi politik di Sabah. Sejak PRU ke-14 pada tahun 2018 rakyat Sabah telah telah melihat pertukaran kerajaan yang mendebarkan, pertama kerana tidak ada satu pun parti yang dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kedua ialah berlakunya pertukaran kerajaan dalam tempoh tiga sehari. Pada PRU-14 Barisan Nasional telah membentuk kerajaan dengan sokongan sebuah parti kecil iaitu Star yang hanya menang 2 kerusi DUN sahaja. Bagaimanapun dalam tempoh 72 jam kerajaan tersebut tumbang ekoran tindakan parti UPKO memberikan sokongan kepada Warisan. Maka terbentuklah kerajaan baru yang diterajui oleh parti baru (Warisan) dengan sokongan UPKO dan rakan-rakan parti daripada Pakatan Harapan (PH). 

Kusangka panas hingga kepetang, rupanya hujan ditengah hari. Demikianlah umpama kehidupan kerajaan Warisan ini. Semenjak ia memerintah sehinggalah ia tumbang kerana peralihan sokongan beberapa adun kerajaan kepada mantan ketua menteri Sabah iaitu Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Musa bin Aman pada 29 Julai 2020, parti ini tidak sempat duduk senang kerana gangguan-gangguan daripada parti pembangkang. Nampaknya pihak lawan tidak memberikan peluang yang aman kepada parti ini untuk memerintah dengan baik. Ada sahaja pelbagai tuduhan liar dan memecahbelahkan masyarakat dilontarkan dan dicanangkan di semua media sosial dengan tuduhan seperti parti pendatang, parti kaum tertentu, bukan orang asal Sabah, gagal mentadbir, rasuah dan kronisme dan yang lebih parah ialah tuduhan bahawa parti itu adalah proksi kepada negara Filipina yang mahu menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah negara Filipina. Para pengikut parti tertentu tanpa berfikir waras memutar-mutarkan isu perkauman dan kebencian serta digulai dengan isu agama di pelbagai media sehingga ada rakyat yang percaya bulat perkara tersebut. Permainan politik seperti ini telah meletakkan Sabah dalam bahaya perpecahan kaum atau kata lainnya ialah permusuhan perkauman yang boleh menjadi suatu bom jangka mencetuskan permusuhan fizikal dan konfrantasi melampau yang kemudian amat sukar untuk dipulihkan lukanya. Kalaupun berjaya dipulihkan tentu ia akan meninggalkan parut luka yang amat besar dan pahit untuk dikenang. 

PRN Sabah kali ini merupakan pilihanraya yang unik dan penting kerana sesiapa sahaja yang menang PRN ini akan menentukan halatuju dan mencorak kuasa ekonomi dan budaya politik masa depan Sabah. Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia walaupun sebuah wilayah yang amat kaya dengan hasil bumi dan tanah yang subur. Sabah juga mempunyai kepelbagaian suku kaum dan kepercayaan. Ini memberikan keunikan tersendiri dan secara tidak langsung menjadikan Sabah sebagai negeri contoh bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Bagaimanapun kekayaan Sabah ini tidak dapat dinikmati sepenuh oleh rakyat Sabah kerana tindakan Persekutuan membolot hampir kesemua hasil mashyul negeri. Sabah hanya mendapat sendikit peruntukan ‘belaskasihan’ yang tidak adil berbanding berbanding negeri-negeri di Tanah Melayu. Bahagian yang sedikit inipun tidak disampaikan dengan telus dan jujur oleh sesetengah pemimpin Sabahan malah mereks memjadi proksi kepada parti dominan di Malaya untuk kekayaan parti. Keadaan ini tidak boleh diletakkan kesalahan kepada pihak luar seratus peratus atas situasi kemiskinan ini. Kemiskinan (ketinggalan arus pembangunan) terus bertapak di kalangan rakyat Sabah kerana rakyat Sabah sendiri tidak bersatu mempertahankan haknya. Rakyat Sabah juga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana rakyat juga telah meletakkan harapannya kepada para pemimpin atau kerajaan negeri untuk mempertahankan apa yang menjadi hak rakyat. 

Tetapi berdasarkan situasi politik masakini kesedaran menuntut hak ini terlalu sukar untuk dicapai. Rakyat menjadi semakin berpecah dan binggung parti manakah yang benar-benar berjuang untuk rakyat. Pertumbuhan parti politik bagai cendawan yang tumbuh di pagi hari menambah lagi celaru rakyat. Semua parti itu masing-masing mengatakan bahawa mereka adalah parti yang terbaik. Ditambah dengan rempah fitnah menjadikan rakyat semakin keliru dan berpecah. 


Berbalik kepada motto di atas, penulis berpendapat bahawa inilah masanya rakyat Sabah harus bersatupadu menuntut hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Rakyat harus bersatu padu dan sedar bahawa perjuangan menuntut dan menikmati hak-hak rakyat Sabahan itu tidak mungkin berjaya jika wujud permusuhan, prasangka buruk dan curiga di antara kaum-kaum di Sabah. Tidak ada satu kaumpun di Sabah yang mampu menuntut hak Sabah secara bersendirian. Harus ada perpaduan. Perpaduan yang diinginkan mestilah didasarkan kepada pengharapan dan kepercayaan kepada Tuhan. Ia merupakan asas utama yang dapat menyatupadukan kaum yang pelbagai ini. Siapapun anda dan apapun agama anda kepercayaan kepada Tuhan merupakan kesamaan utama (walaupun mungkin konsep Tuhan berbeza antara individu) yang boleh mengikat perpaduan rakyat Sabah secara utuh. Rakyat harus melihat bahawa kerjasama dan kesatuan yang diasaskan kepada ketuhanan merupakan titik pertemuan yang dapat mengurangkan pergeseran kaum. Apa tidaknya jika setiap individu mengamalkan kepercayaan agamanya dengan baik tanpa memperlekehkan kepercayaan orang lain maka pasti akan wujud suasana harmoni di kalangan masyarakat Sabah. Hidup damai, harmoni dan sejahtera adalah impian hidup setiap rakyat manusia. Pemimpin juga jika meletakkan usahanya atas asas percaya Tuhan dengan telus pasti menghasilkan tindakan dan gaya kepimpinan yang dapat dipercayai. Tetapi jika pemimpin tidak mempunyai rasa percaya kepada Tuhan pasti pemimpin itu pada bila-bila masa akan khianat (tidak amanah) kepada rakyat bahkan khianat juga kepada rakan seperjuangannya. Kalau seorang pemimpin tidak takut kepada Tuhan bagaimana mungkin dia takut kepada suara rakyat. 

Penulis berfikir bahawa tidak ada rakyat di Sabah yang ingin hidup 'ketinggalan' selamanya. Oleh itu rakyat harus bersatu dan berpadu menuntut hak untuk menikmati sosio ekonomi dan politik yang lebih baik melalui sebuah parti. Apakah parti itu parti A atau parti B tetapi perkara utama rakyat harus sedar dan ingat bahawa kesatuan sebenar dan jujur hanya berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Rakyat berjuanglah melalui parti  dan pemimpin yang meletakkan dasar seperti ini. Dalam percaya kepada Tuhan ada harapan untuk rakyat Sabah.

_Ini hanya pendapt Penulis dan tidak ada paksaan untuk bersetuju dengan tulisan ini._


SUARA RAKYAT

12 September 2020

Comments

Popular posts from this blog

TAK HADAM ATAU PURA-PURA TAK HADAM

PRN Sabah Ke-16: Dun Paginatan Memilih